Tuesday, December 9, 2014

Mesej Penting untuk Bangsa Negara Sabah dan Negara Sarawak

Setelah empat tahun yang juga bakal memasuki tahun kelima dalam perjuangan ini, perkembangan kefahaman dan penerimaan ideologi perjuangan SSKM semakin rancak dan telah mendapat sokongan daripada semua lapisan masyarakat yang berbeda ideologi kefahaman politik. Tidak salah jikalau saya katakan bahawa perjuangan SSKM ini juga telah mampu satukan semua rakyat dikedua-dua negara sebagai satu entiti Bangsa Borneo. Yang lebih menariknya lagi, kerajaan persekutuan tanah melayu (malaya) yang telah menyamar menjadi kerajaan malaysia kini sudah kian tergugat dengan segala pendedahan yang telah menelanjangkan sepenuhnya penipuan dan kekotoran politik mereka yang selama ini telah disokong oleh pemimpin-pemimpin tempatan. 
Kita semua telah sedia maklum bahawa pemimpin malaya kini sedang berusaha untuk melenyapkan suara dan sentimen kebangkitan Nasionalisme di Negara Sabah dan Negara Sarawak melalui tindakan mereka memutuskan untuk mengekalkan akta hasutan 1948. Dengan itu, kita perlu membuat keputusan yang mustahak sekarang untuk diputuskan. Pertama, adakah kita mahu terus akur dan tunduk kepada ancaman serta ugutan malaya yang didokong oleh pemimpin-pemimpin tempatan yang selama ini telah dilakukan keatas kita selama 51 tahun? Adakah kita mahu merelakan diri, keluarga, keturunan dan generasi bangsa kita untuk terus diperlakukan sedemikian untuk 50 tahun lagi? Atau kita lakukan satu revolusi kebangkitan Nasionalisme secara menyeluruh untuk sekali dan selamanya secara demokratik melalui tuntutan hak mutlak kita sebagai sebuah Bangsa yang Merdeka dan berdaulat agar generasi dan keturunan kita dapat menikmati kehidupan dibawah pemerintahan Kerajaan Tempatan yang adil dan saksama tanpa perlu lagi berasa takut dengan pemerintahan malaya yang pada waktu itu negara kita sudah bebas daripada persekutuan malaysia dengan malaya. Dimanakah pilihan dan pendirian anda?
Jikalau anda mahu memilih untuk terus akur dan tunduk kepada ancaman serta ugutan malaya, ya, anda akan selamat. Anda tidak akan diapa-apakan. Tidak berlaku penangkapan dan anda boleh teruskan kehidupan anda seperti biasa sebagai bangsa yang terjajah secara halus melalui mental dan fizikal. Dan anda selamanya tidak akan miliki kekuatan untuk menegur mahupun menunjukkan penentangan secara terang-terangan kepada pemerintahan malaya biarpun anda tahu mereka zalim dan tidak adil. Apabila anda sudah tua, anda akan meninggalkan amanat kepada keturunan anda untuk turut sama mengikut langkah anda. Dalam erti kata lain, anda merelakan diri dirogol oleh perogol siang dan malam tanpa sebarang tindakan untuk mempertahankan diri mahupun menghentikan tindakan jahat, hina dan kotor tersebut. Akhirnya hidup anda berakhir dengan satu tragedi yang akan ditutup daripada pengetahuan umum seperti mana yang telah dilakukan kepada pemimpin-pemimpin Nasionalis Kebangsaan Negara Sabah dan Negara Sarawak kita dahulu. Anda lawan malaya, hidup anda akan berakhir. Patuh kepada malaya, anda akan hidup dan meninggal semasa usia tua di katil atau mungkin disebabkan penyakit.
Atau anda BANGKIT sekarang dengan berani bersama-sama dengan yang lain, berdiri teguh kepada pendirian dalam perjuangan untuk mengatakan  kepada kerajaan menyamar itu bahawa mereka boleh mengancam nyawa, keluarga mahupun generasi Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak, tetapi mereka tidak mampu mengugat walau seinci pun semangat yang membara didalam diri Bangsa Borneo untuk berjuang untuk menuntut Kemerdekaan dan Kedaulatan daripada penjajahan jijik, hina dan kotor malaya ini. Perjuangan ini juga tidak meminta seinci pun tanah mahupun hak malaya tetapi hanya ingin mengambil sepenuhnya hak Bangsa Borneo tanpa sebarang syarat daripada genggaman malaya. Jikalau rebah ke bumi, biarlah rebah sebagai seorang pejuang dan tidak sesekali sebagai pengkhianat Bangsa dan Negara. Tetapi dalam perjuangan ini, bukan nama yang menjadi rebutan tetapi nasib bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak itu yang menjadi misi utama yang mesti diperjuangkan tanpa sebarang alasan.
Kita bukan tidak pernah memiliki sebuah negara, matawang, mahupun pertahanan negara. Semuanya kita pernah miliki dahulu. Namun perkara tersebut dihilangkan daripada genggaman tangan bangsa kita. Kita tidak akan sesekali merampas hak orang lain tetapi apa yang kita sedang lakukan sekarang adalah hanya untuk mengambil balik kesemua hak milik Bangsa kita kerana hak tersebut bukan milik malaya! Milik Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak!
Politik
http://sabahsarawakmerdeka.blogspot.co.uk/2014/12/mesej-penting-untuk-bangsa-negara-sabah.html

No comments:

Post a Comment